Saya
berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita
mempertingkatkan rasa gerun, takut dan waspada kita kepada Allah s.w.t.
Juga, marilah kita mempertingkatkan rasa kehambaan dan kecintaan kita kepada Allah s.w.t., Tuhan, Rabbul Alamin.
Firman Allah s.w.t (surah al-Baqarah: 165):
Maksudnya: “Ada
di antara manusia, orang yang mengambil selain dari Allah (untuk
menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan
mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang
beriman itu lebih cinta kepada Allah.”
Sidang Jumaat sekalian,
Dunia kita hari ini dipenuhi dengan propaganda cinta manusia. Kita
sering dihidangkan dengan kisah-kisah cinta melalui drama, filem,
teater mahupun cerpen dan novel-novel. Ini termasuk lagu-lagu yang
sebahagian besarnya membawa tema-tema cinta antara dua manusia, lelaki
dan wanita.
Lebih malang lagi, sebahagian besar lagu-lagu itu memainkan emosi dan ilusi manusia-manusia yang kecewa dan gagal dalam cinta. Tidak
ketinggalan, nasyid-nasyid kontemporari juga terikut rentak
mendendangkan tema-tema cinta, meskipun disertai ingatan tentang batasan
syariat.
Hasilnya,
masyarakat kita hari ini, khususnya golongan remaja sangat mengagungkan
cinta. Mereka menjadikan sebahagian besar dari masa mereka untuk cinta.
Sehingga lahirlah ungkapan-ungkapan seperti “cinta itu suci”,
“perjuangan cinta”, “cinta yang sedang diuji” “cinta anugerah Tuhan”,
“dugaan cinta” dan sebagainya.
Fenomena ini turut menyebabkan setengah golongan yang tidak dapat mengawal emosinya di dalam cinta sehingga menjejaskan kehidupan mereka. Tidakkah kita merasa pelik, ada orang yang tidak lalu makan dan minum kerana cinta?
Adakah
wajar, seorang remaja ponteng sekolah hanya kerana kecewa dalam cinta?
Bagi setengah golongan pula, mereka mendapat motivasi untuk belajar,
bekerja mahupun berjuang dari hubungan cinta dengan manusia yang
berlainan jantina.
Sidang Jumaat sekalian,
Islam tidak menyekat atau
menghalang cinta sesama manusia. Namun al-Quran menjelaskan kedudukan
cinta antara dua manusia berlainan jantina tidak lebih dari sebagai
ujian. Cinta itu adalah ujian dari Allah s.w.t. untuk melihat di
kalangan hamba-Nya, siapakah yang berjaya mengawal dirinya, tidak musnah
menjadi korban cinta.
Firman Allah s.w.t (surah Ali Imran, ayat 14):
Maksudnya: “Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda
yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang
bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun
tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah),
pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Oleh itu, seorang muslim tidak sewajarnya tenggelam dalam cinta nafsu sehingga
mengabaikan tanggungjawab atau melanggar batas-batas syariat.
Sebaiknya, mereka perlu menghindari cinta yang hanya membuang masa,
lalai dalam keindahan dunia yang sementara.
Firman Allah s.w.t (surah Ali Imran, ayat 15):
Maksudnya: “Katakanlah:
“Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada
semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga isteri-isteri yang suci
bersih, serta keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa
Melihat akan hamba-hambaNya.”
Hadis Rasulullah s.a.w. pula menjelaskan kepada kita hakikat ujian cinta. Sabda baginda
“Kasihilah
orang engkau kasihi sekadarnya, mungkin dia akan menjadi orang yang
engkau benci suatu hari nanti. Bencilah orang yang engkau musuhi
sekadarnya, mungkin dia akan menjadi kesayanganmu pula suatu hari
nanti. (Hadis riwayat al-Tirmidzi. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan
hadis ini gharib yakni dhaif).
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab, ayat 4:
Maksudnya: “Allah
tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga
dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu
sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu,
sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai
perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut
kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua
yang memimpin ke jalan yang betul.”
Ini
bererti, segala ungkapan yang sering disebut dalam lamunan cinta
hanyalah rekaan manusia semata-mata. Ia bukanlah suatu perkara benar
selain cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Ungkapan “cinta
itu suci” adalah tidak benar kerana cinta sepasang kekasih sering
dicemari maksiat. Tidak ada “perjuangan cinta”, kerana perjuangan
manusia sering terhalang kerana cinta.
Kata-kata
sepasang kekasih “cinta kita sedang diuji” adalah tidak benar; kerana
sebenarnya, mereka yang sedang diuji Tuhan dengan perasaan cinta.
Demikian juga, tidak ada “dugaan cinta”. Apa yang ada adalah rasa cinta
yang sedang menduga keimanan manusia.
Sidang Jumaat sekalian,
Cinta
naluri seperti dinyatakan dalam ayat al-Quran tadi, tidak mempunyai
nilai di sisi Allah s.w.t. Cinta kepada wanita (atau wanita kepada
lelaki), cintakan anak, harta, kenderaan, ternakan dan ladang pertanian
adalah cinta naluri yang menjadi hiasan dalam kehidupan..
Cinta yang mendapat pahala dan
ganjaran dari Allah adalah cinta yang dibina dan dipupuk. Cinta manusia
kepada Tuhannya tidak lahir secara semulajadi. Ia perlu dipupuk melalui
ketaatan, zikir dan pengorbanan. Apabila manusia mengorbankan perasaan
dan kepentingan dirinya semata-mata untuk mematuhi perintah Allah
s.w.t., dia akan merasai kemanisan iman kepada Allah s.w.t. Cinta akan
bertambah kepada Allah s.w.t. dan rasul-Nya, s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: “Ada
tiga perkara. Siapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman. 1.
Apabila Allah s.w.t. dan rasul-Nya lebih dikasihi dari selain keduanya.
2. Apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah s.w.t. 3. Apabila
dia merasa benci untuk kembali menjadi kufur, seperti bencinya dia
dicampak ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari).
Rasulullah s.a.w. sendiri menunjukkan contoh yang tepat, apabila baginda mengenepikan cintanya kepada manusia kerana mendahulukan cinta kepada Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
.Maksudnya: “Kalaulah
aku boleh menjadikan sesiapa sebagai kekasihku, nescaya aku pilih Abu
Bakar sebagai kekasih. Namun, di adalah saudaraku dan sahabatku. Dan
Allah telah (lebih dahulu) menjadikan aku sebagai kekasih-Nya.” (Riwayat
Muslim).
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “Sedangkan orang-orang yang beriman sangat dalam cintanya kepada Allah.”
.sekian. wassalam
nota kaki : peliharalah cinta mengikut landasan yang Allah beri